RCEP Muktamad Pertengahan Tahun Depan

KUALA LUMPUR – Proses memuktamadkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka dilanjutkan sehingga pertengahan tahun depan ekoran kekangan masa selain banyak isu yang belum dibincangkan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dengan tahun 2017 semakin hampir ke hujungnya, kerajaan mungkin perlu mengkaji semula sasaran RCEP dimuktamadkan bagi memastikan ia lebih realistik, dengan mengambil kira pelbagai isu yang dibincangkan oleh negara anggota.

RCEP merupakan cadangan Perjanjian Perdagangan Bebas serantau (FTA) antara 16 negara di Asia Pasifik termasuk 10 negara anggota ASEAN, China, Jepun, India, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Mustapa berkata mesyuarat terbaru mengenai RCEP antara pegawai kerajaan di Korea Selatan berlangsung bulan lepas dan laporan penuh belum dikemukakan.

“Kami akan menerimanya pada mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN di Manila dari 10 hingga 11 Nov.

“Kami masih menghadapi beberapa cabaran (melalui RCEP) dan berharap perbincangan mengenainya boleh diteruskan di Manila, terutama mengurangkan jumlah halangan,” katanya kepada pemberita selepas ucapan pembukaan pada Persidangan Perniagaan Syarikat Peringkat Pertengahan di sini hari ini.

Sementara itu pada majlis yang sama, Mustapa juga melancarkan Konsortium Syarikat Peringkat Pertengahan Malaysia (MCMTC), inisiatif untuk menyokong Syarikat Peringkat Pertengahan (MTC) menjadi juara serantau dan global.

Beliau berkata matlamat MCMTC adalah untuk mempromosikan MTC Malaysia di pasaran global, menjadi tumpuan MTC tempatan untuk perdagangan, pelaburan dan perkhidmatan, serta menghubungkan mereka menerusi kerjasama untuk memacu pertumbuhan eksport.

“Bagi 2017, kami menyasarkan untuk menggerakkan eksport MTC sebanyak 5.0 peratus. Tahun ini, 21 MTC telah dipilih menerusi Wave 4 dan sedang melengkapkan program pembangunan selama sembilan bulan,” katanya.

Mustapa berkata tahun lepas, eksport 152 MTC meningkat 10.41 peratus kepada RM6.82 bilion berbanding RM6.18 bilion pada 2015. – BERNAMA