Ratu Swaziland Kagum Dengan Pusat Permata Kurnia

KUALA LUMPUR – Swaziland mahu mempelajari pengendalian Pusat Permata Kurnia Negara untuk kanak-kanak autistik yang diketuai isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ratunya, Nomsa Matsebula yang mengunjungi pusat tersebut di Jalan Sentul Perdana di sini hari ini berkata, banyak idea telah diperoleh apabila menyaksikan strategi yang dilaksankan di situ.

Baginda berkata, baginda akan menyampaikan niat baginda untuk menjalin kerjasama mengenai perkara tersebut dengan Rosmah yang merupakan penaung Permata.

“Di Swaziland, kami tidak mempunyai pusat khusus untuk kanak-kanak autistik. Namun kini kami mempunyai rancangan dan berharap boleh dilaksanakan apa yang telah kami pelajari di sini,” kata baginda kepada pemberita.

Baginda menghadiri Persidangan Antarabangsa Permata 2016 yang julung kali diadakan dan berakhir semalam.

Baginda berkata program Permata yang antara lain mempromosi pendidikan awal kanak-kanak dan penjagaan merupakan pembuka mata kepada baginda.

Pusat Permata Kurnia mengkhusukan dalam bidang pendidikan dan pembangunan kanak-kanak penghidap autisme dengan menawarkan antara lain perkhidmatan, program pendidikan prasekolah bagi kanak-kanaak autistik berumur antara empat dan tujuh tahun. – BERNAMA

Leave a Reply