Rakyat Perlu Sihat, Cerdas Untuk Rebut Peluang Ekonomi

KANGAR – Generasi muda Perlis perlu menjadi golongan sihat dan cerdas serta melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi merebut kemunculan peluang-peluang ekonomi hasil pelaksanaan pembangunan oleh kerajaan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ini kerana rakyat yang sihat, cergas dan cerdas sahaja mampu memikul tanggungjawab memajukan negeri dan negara selain kesihatan merupakan faktor penting untuk menjamin kualiti hidup yang baik.

“Rakyat perlu rajin bersukan kerana badan yang sihat dan cergas sahaja dapat melahirkan akal yang sihat,” titah baginda ketika merasmikan pertandingan futsal tahunan anjuran Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) 2017 di D’Futsal Centre di sini hari ini.

Pertandingan kali ketujuh yang disertai 85 pasukan dalam empat kategori iaitu bawah 16 tahun, terbuka lelaki dan wanita serta lelaki Maahad Tahfiz itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada 17 Mei ini.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah sukan bukan sekadar memupuk semangat persaingan, menguji kekuatan dan kehebatan fizikal malah menjadi pentas pembinaan ukhuwah dan setiakawan masyarakat majmuk Malaysia yang menganut pelbagai agama dan budaya

Sukan juga boleh menjadi kerjaya yang dapat memupuk nilai-nilai keusahawanan bagi ahli-ahli sukan yang berminat dalam bidang perniagaan,” tambah baginda.

Raja Muda Perlis turut menasihatkan agar generasi muda terus memupuk nilai positif dan menjauhkan diri daripada najis dadah yang merosakkan masyarakat khususnya golongan muda. – BERNAMA

Loading...