Pusat Tahfiz DQI Terus Jadi Tumpuan Ramai

KUALA LUMPUR – Walaupun sudah sembilan hari mengalami kebakaran, Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) di Keramat Ujung di sini masih menjadi tumpuan ramai.

Tinjauan mendapati perkarangan pusat itu mash dipenuhi orang ramai termasuk untuk bergambar sehingga menyebabkan jalan raya di hadapan pusat itu sesak.

Noranizah Halim, 30, berkata beliau mengambil peluang cuti hujung minggu untuk melawat sendiri lokasi kebakaran.

“Selalunya saya hanya melihat berita mengenai kejadian di televisyen dan laman sosial, tetapi hari ini saya dapat melihat sendiri lokasi kejadian yang sangat menyedihkan ini,” katanya.

Noranizah datang dari Melaka bersama keluarganya.

Pengetuanya Mohd Zahid Mahmood berkata beliau menyambut baik kehadiran orang ramai ke pusat itu.

“Saya sentiasa menerima kunjungan orang ramai dan pelbagai pihak lain, malah ada yang sanggup mencari saya sampai di rumah,” katanya.

Mengakui tidak cukup tidur dan masa makan tidak menentu sejak hari kejadian pada 14 Sept lalu, beliau berkata orang ramai tidak putus-putus datang dan turut menyampaikan sumbangan.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden terkorban dalam kejadian itu akibat terperangkap dalam asrama yang terbakar.

Susulan kejadian, pihak polis menahan tujuh remaja berusia 11 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan. – BERNAMA