Pusat Jagaan 24 Jam Mudahkan Staf Hospital

PEKAN – Mencari pusat jagaan kanak-kanak yang bersesuaian dan tepat adalah keutamaan ibu bapa, terutamanya mereka yang bekerja mengikut syif atau sentiasa dalam mod bersedia.

Bagi kakitangan Hospital Pekan, mereka sangat bersyukur kerana pusat jagaan kanak-kanak yang sangat sesuai dengan mereka terletak dalam kawasan tempat kerja dan beroperasi 24 jam.

Pengarah Kesihatan Pahang, Dr Sha’ari Ngadiman berkata pusat jagaan kanak-kanak ‘Taska Ezati’ itu pada masa ini mempunyai 28 anak jagaan, berusia antara tiga bulan dan empat tahun.

“Pusat jagaan itu dibuka pada 1 Oktober 2009 dengan tujuan untuk meringankan beban ibu bapa. Kami tahu bukan mudah untuk mereka mencari pusat jagaan kanak-kanak yang sesuai dengan waktu kerja mereka.

“Kami sangat gembira dengan sambutan positif yang diberi ibu bapa terlibat. Semua doktor, jururawat dan kakitangan hospital sentiasa sedia berkhidmat untuk orang ramai jadi hanya ini cara kami dapat balas jasa mereka,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Dr Sha’ari berkata kemudahan sama juga dibuka di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, manakala pusat jagaan kanak-kanak di Hospital Rompin beroperasi ikut waktu pejabat.

Beliau berkata adalah impiannya untuk melihat semua hospital di Pahang dilengkapi pusat tersebut kerana ia akan memberi ketenangan untuk kakitangannya bekerja, terutama buat kaum ibu.

“Di Pekan, kami mengenakan bayaran RM250 untuk setiap kanak-kanak bawah dua tahun, sementara kanak-kanak berusia bawah tiga tahun sekitar RM230 seorang. Saya yakin ia lebih murah berbanding pusat jagaan lain.

“Kami memberi subsidi RM180 untuk setiap kakitangan yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan, bersesuaian dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 38 Tahun 2013,” katanya.

Beliau berkata pemilihan pengendali pusat jagaan itu tertakluk kepada tender, yang diperbaharui setiap tiga tahun dan hanya mereka yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja yang dibenarkan membuat tawaran menyertai tender.

Pengendali terlibat, kata Dr Sha’ari perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak JKM dan hospital, termasuk memastikan pekerjanya terlatih dan tukang masak yang diambil bekerja perlu menyenaraikan rancangan hidangan makanan kepada pakar nutrisi.

“Bagi memastikan jumlah penjaga kanak-kanak bersesuaian dengan angka anak-anak jagaan, ibu bapa perlu berkongsi jadual kerja mereka dengan penyelia pusat jagaan kanak-kanak untuk memudahkan beliau menyusun atur jadual pekerjanya,” katanya.

Beliau berkata semua ibu bapa terlibat dimasukkan ke kumpulan Whatsapp pusat jagaan dan pihak hospital juga menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau pusat tersebut, termasuk mengadakan lawatan mengejut.

Sementara itu, seorang jururawat Nurul Akmal Ramli, 29, mengakui kewujudan pusat jagaan kanak-kanak itu sangat banyak membantunya, lebih-lebih lagi ketika suaminya yang juga seorang seorang tentera laut Izzuddin Muhammad Khiral, 30, keluar bertugas selama beberapa hari atau kadangkala bulan.

“Ia memudahkan saya kerana tidak perlu pergi ke tempat lain untuk menghantar anak kami, Muhammad Firas, 2, sebelum masuk kerja. Pusat jagaan ini juga sangat memudahkan saya sepanjang tempoh menyusu.

“Saya hanya perlu meminta izin daripada ketua jururawat. Tetapi apa yang paling saya suka ialah pihak pusat jagaan sentiasa memaklumkan kami apa yang sedang dilakukan anak-anak menerusi aplikasi Whatsapp,” katanya.

Nurul Akmal yang sudah berkhidmat di hospital itu sejak 2015 berkata beliau juga tidak perlu bersusah-payah hendak mencari pengganti jika penjaga kanak-kanak perlu mengambil cuti kecemasan, berbanding jika anaknya dihantar ke rumah pengasuh.

Bagi Habibah Abu Bakar, 39, pula beliau menyedari anak bongsunya Puteri Eryna Khadli, 4, menunjukkan perkembangan baik setelah dihantar ke Taska Ezati sejak Januari lepas apabila beliau dipindahkan ke Hospital Pekan dari Maran.

Beliau yang berkhidmat di jabatan pentadbiran berkata Puteri Eryna sudah boleh membezakan warna dan bentuk serta sudah mengenal huruf, terima kasih kepada aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan pengendali pusat jagaan itu.

“Setiap hari saya perlu menghantar anak-anak lain ke sekolah pada waktu pagi tetapi ia bukan masalah kerana pusat jagaan ini dibuka 24 jam. Saya gembira melihat dia menyesuaikan diri di sini sehingga ada ketika saya perlu memujuk dia untuk pulang ke rumah,” katanya. – BERNAMA

Loading...