Proses Dokumentasi Bebas Anwar Dijangka Seminggu

KUALA LUMPUR – Proses dokumentasi pembebasan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengambil masa kurang seminggu, kata Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail di sini.

Beliau berkata proses pembebasan itu, yang perlu melalui beberapa dokumentasi, akan dipercepatkan.

Katanya perkara yang paling penting adalah mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membolehkan Anwar mengambil bahagian secara langsung dalam persada politik Malaysia.

“Saya telah berjumpa dengan beliau (Anwar) di Hospital Rehabilitasi Cheras dan beliau amat gembira dengan kemenangan besar PH serta mengikuti perkembangan Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang ketujuh.

“Saya juga akan membuat kajian tentang peraturan penjara dan siapa yang mempunyai kuasa untuk melepaskan Anwar,” katanya ketika ditemui di hospital itu di sini, hari ini.

“Yang di-Pertuan Agong (Sultan Muhammad V) sendiri memberitahu saya bahawa baginda sendiri mahukan pengampunan ini secepat mungkin dan ia merupakan hasrat baginda sendiri,” katanya.

Sementara itu, mengenai barisan Kabinet baharu, Dr Wan Azizah berkata; “Banyak perkara yang perlu dilakukan untuk kerja-kerja pentadbiran negara manakala senarai Kabinet baharu akan diumumkan esok”.

Memohon pembebasan dan pengampunan bagi Anwar adalah satu daripada janji dalam manifesto pilihan raya PH.

Anwar dipenjarakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan beliau pada 2015 terhadap sabitan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya serta hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Tinggi. – BERNAMA

Loading...