Promosi Kesihatan Mental Peranan Semua

KUANTAN – Semua pihak perlu memainkan peranan memikirkan pendekatan berkesan mempromosikan kesihatan mental bagi menangani gejala sosial yang berpunca daripada penyakit itu.

Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) Tan Sri Lee Lam Thye berkata masalah kesihatan mental juga berkaitan dengan perlakuan jenayah seperti penganiayaan kanak-kanak, pembuangan bayi malah boleh membawa kepada kes bunuh diri.

“Hari Mental Sedunia pada Rabu ini perlu dijadikan agenda nasional kepada semua pihak sama ada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun sektor swasta boleh merancang aktiviti mempromosi kesihatan mental.

“Kesihatan mental tidak hanya bermaksud pesakit yang perlu dihantar ke Tanjung Rambutan, tetapi juga melibatkan golongan yang berdepan tekanan dan depresi sehingga membawa kepada perlakuan jenayah.

“Statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan baru-baru ini menunjukkan 29 peratus rakyat Malaysia menghadapi masalah mental walaupun tidak membimbangkan tetapi masih perlu diberi keutamaan seperti mana kita mempromosikan kesihatan fizikal,” katanya.

Lee yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Taklimat MCPF Pahang bersama Ketua-Ketua Jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK) Pahang di sini, semalam.

Hadir pada majlis itu ialah Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Abd Rahman.

Lee menambah Kementerian Kesihatan sebagai agensi utama dalam membendung hal itu perlu mengadakan perbincangan untuk merangka strategi atau polisi baharu bagi memastikan kejayaan kempen kesedaran penyakit berkenaan.

Pada perkembangan lain, beliau berkata MCPF memandang series masalah Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang terlibat kes jenayah dan berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama kepada usaha yang dilaksanakan Jabatan Imigresen. – BERNAMA

Loading...