Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

KKM Siasat 10 Produk...

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan berhubung 10 produk stevia yang...

Kedudukan Ketua Pembangkang DUN...

SHAH ALAM - Kedudukan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mungkin diteliti...

Banjir Semakin Serius Di...

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir bertambah serius menyebabkan 58,705 penduduk di Pahang, Kelantan,...

Perkhidmatan Bas Dua Tingkat...

GEORGE TOWN - Rapid Bus Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan bas Rapid Penang tidak...

Projek Kerang Bantu Nelayan Selangor Pelbagai Pendapatan

SHAH ALAM – Jika dahulu nelayan di pesisir pantai Selangor hanya bergantung kepada hasil tangkapan yang tidak menentu menerusi kaedah tradisi iaitu menjaring ikan, kini golongan itu mampu mempelbagaikan pendapatan menerusi projek kebun kerang.

Inisiatif hasil cetusan idea Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram daripada UMNO, Datuk Amiruddin Setro dilihat banyak membantu meningkatkan taraf hidup nelayan di negeri ini dengan tambahan pendapatan RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

Menurut Kahar Buntal, 65, seorang nelayan yang berpangkalan di Kampung Kuala Sungai Buloh, Jeram, Kuala Selangor, nelayan yang terlibat dalam projek kerang tidak perlu mengeluarkan modal besar untuk membeli benih kerang kerana ia boleh didapati di sekitar pesisir pantai.

“Selangor mempunyai pantai berlumpur yang luas dengan benih kerang yang banyak dan sesuai untuk dijalankan projek kebun kerang.

“Justeru, tepat pada masanya YB (Yang Berhormat) Amiruddin bersama bekas Pengarah Perikanan Selangor, Thalatiah Saidin mengambil inisiatif membangunkan projek kebun kerang bagi membantu nelayan sekitar negeri ini,” katanya kepada Bernama.

Pada 2008, Jabatan Perikanan Negeri Selangor melaksanakan projek kebun kerang melibatkan tiga daerah utama sebagai kawasan ternakan iaitu Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Projek bertujuan meningkatkan pengeluaran akuakultur negeri itu disertai nelayan tradisi secara berkumpulan dengan jumlah anggota antara lima hingga 10 orang bagi setiap lot ternakan.

Menerusi projek itu, sejumlah 200 lot ternakan dengan keluasan hampir 10,000 hektar telah diwujudkan dengan purata keluasan 50 hektar bagi setiap lot.


Menurut Kahar, inisiatif projek kerang itu membantu nelayan mempelbagaikan pendapatan dan setiap hari mereka menangguk kerang pada awal pagi sehingga tengah hari dan seterusnya menangkap ikan.

“Tambahan pula, nelayan mendapat jeti tambahan bagi setiap projek kerang yang diusahakan bagi memudahkan aktiviti pendaratan,” kata bekas tentera yang berpengalaman sebagai nelayan selama 40 tahun.

Menurut laman web rasmi Jabatan Perikanan Malaysia, harga kerang kini semakin meningkat kerana permintaan yang tinggi. Ia melonjak daripada RM1.94 sekilogram pada 2010 kepada sekitar RM8 sekilogram pada 2016.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Ab Aziz Selamat berkata antara inisiatif lain yang membantu meningkatkan pendapatan nelayan di negeri itu adalah projek Q’Fish yang diilhamkan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor.

Katanya, projek Q’Fish merupakan satu langkah untuk memastikan bekalan ikan mencukupi dan konsisten melalui pewujudan stok simpanan ikan segar secara sejuk beku.

“Di samping itu, langkah kerajaan memperkenalkan pemberian insentif 10 sen bagi setiap satu kilogram hasil tangkapan ikan meringankan beban kewangan golongan nelayan,” katanya. – BERNAMA

Kategori