Program Penempatan Pembantu Guru Bakal Diperluas

KUALA LUMPUR – Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Ke-8 yang memberi fokus menangani isu beban tugas guru melalui inisiatif Penjajaran Tugas Utama Guru akan diperluaskan ke seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata langkah menempatkan pembantu guru itu dilihat sangat membantu dalam meringankan beban guru.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan projek rintis ini telah berjaya mengurangkan beban tugas guru dalam skop kerja perkeranian dan teknikal ICT daripada purata tiga jam hingga 7.4 jam seminggu bergantung kepada jenis tugas khas yang dipegang oleh guru,” katanya pada persidangan Dewan Rakyata hari ini.

Inisiatif penempatan pembantu guru yang dilaksanakan di bawah Program Rintis Pemantapan Profesion Guru (PPG) yang merupakan antara usaha dilaksana Kementerian Pendidikan dalam menangani beban tugas guru secara komprehensif, kini melalui projek perintis di Melaka dan Kedah.

Di bawah inisiatif itu, pembantu guru yang terdiri daripada Pembantu Tadbir (Pentadbiran/Operasi) Gred N17 (PT N17) dan Juruteknik Komputer Gred FT17 (JK FT17) telah ditempatkan di sekolah untuk mengurangkan beban tugas operasi dan pentadbiran serta teknikal ICT Guru Tugas Khas iaitu Guru Data (GD), Guru Perpustakaan dan Media (GPM) serta Guru Penyelaras Bestari (GPB).

Mahdzir menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) mengenai langkah kerajaan bagi mengurangkan bebanan kerja luar hakiki bagi lebih 500,000 guru supaya tugasan hakiki sebagai pendidik tidak terjejas.

Menurutnya, pengurangan beban tugas yang tiada kaitan dengan tugas hakiki guru itu dapat mengembalikan kefungsian dan profesionalisme guru, namun, pelaksanaan rintis itu bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh ketika menjawab soalan pada sesi sama berkata semua universiti awam perlu mengurangkan kebergantungan terhadap pembiayaan kerajaan dan menggunakan kepakaran, aset serta konsultasi swasta bagi meningkatkan pendapatan dan membiayai kos universiti susulan pengurangan bajet kementerian tahun depan.

“Ini soal membina masa depan di mana kebergantungan universiti kita terhadap kerajaan terlalu tinggi, ada antaranya sehingga hampir 95 peratus dan yang kurangnya daripada universiti penyelidik bergantung kepada kerajaan dengan lebih 80 peratus berbanding universiti di dunia seperti di Thailand yang hanya 30 peratus kebergantungan terhadap kerajaan,” katanya.

Idris menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengenai langkah alternatif kementerian berikutan kekurangan bajet yang diperuntukkan kerajaan pada Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas.

Bajet 2016 memperuntukkan RM13.378 bilion untuk Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu lima peratus daripada keseluruhan belanjawan berbanding RM15.785 bilion dalam Bajet 2015.

Terdahulu, Idris berkata pada masa ini, terdapat sebanyak 107,838 pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia dan 27,812 daripadanya merupakan pelajar program Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Kementerian berharap dengan usaha yang berterusan, Malaysia akan mampu menarik lebih ramai pelajar antarabangsa bagi mencapai aspirasi 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025 dan seterusnya merealisasikan hasrat menjadi hab pendidikan pilihan bagi pelajar antarabangsa,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) mengenai gambaran masa hadapan Sistem Pendidikan Tinggi Negara dari segi pelajar yang dihasilkan, pensyarah serta penyelidikan oleh universiti.- BERNAMA

Loading...