Program Jahit Jana Pendapatan Suri Rumah PPR

KUALA LUMPUR – Suri rumah di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara di sini berpeluang menambah pendapatan keluarga menerusi aktiviti menjahit yang dikendalikan Batik Boutique melalui pusat latihannya di situ.

Projek yang mendapat sokongan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) itu bertujuan membantu suri rumah, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan juga ibu tunggal, menjana pendapatan sama ada secara sepenuh masa atau sambilan.

Ekuinas menyalurkan bantuan dari segi peralatan menjahit serta pembiayaan kos latihan menerusi Program Iltizam untuk membantu golongan kurang berkemampuan meningkatkan kualiti hidup mereka dengan cara yang mampan, kata Pengarah Kanan Pelaburan Ekuinas Nik Johaan Nik Hashim kepada Bernama di sini.

Katanya kerjasama itu merupakan tanggungjawab sosial korporat Ekuinas yang pertama dengan Batik Boutique dan baru bermula tahun ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Batik Boutique, Amy Blair berkata Batik Boutique ditubuhkan pada 2010 sebagai butik dalam talian yang menjual hasil jahitan ibu tunggal.

Susulan sambutan menggalakkan, butik ini diperluas kepada platform fizikal iaitu penubuhan sebuah studio di Sri Hartamas pada Disember tahun lepas, khususnya untuk mempamerkan produk mereka, kata wanita yang berasal dari Texas, Amerika Syarikat itu kepada Bernama.

“Kami berharap dengan pembukaan pusat latihan di Kota Damansara ini akan menggalakkan lebih ramai suri rumah dan ibu tunggal menyertai kami menerusi pelbagai latihan yang ditawarkan antaranya kelas jahitan, pewarnaan fabrik dan pembungkusan,” kata ibu tiga anak tersebut yang fasih berbahasa Melayu.

Beliau yang menetap di negara ini sejak 2009, berkata Batik Boutique terhasil daripada persahabatannya dengan Ana, seorang ibu tunggal yang dikenalinya semasa tiba di negara ini.

“Saya merasa sedih melihat kesukaran hidupnya dan saya mahu membantu mereka yang senasib dengan Ana. Menerusi Ana saya mengenali lebih ramai ibu tunggal dan dari situlah tercetusnya Batik Boutique,” katanya.

Menurutnya pada masa ini kebanyakan mereka yang dilatih oleh Batik Boutique diambil bekerja sepenuh masa di butik berkenaan selain ada yang melakukannya secara sambilan.

“Pada masa ini kita ada 20 pekerja sepenuh masa dan menerusi penubuhan pusat latihan ini kami mahu mengambil 20 lagi pelatih,” katanya.

Menurut Blair, sebelum kerjasama dengan Ekuinas, pihaknya berkolaborasi dengan beberapa badan bukan kerajaan serta Community Transformation Initiatives Berhad.

Sementara itu, seorang peserta Siti Rohana Jamhari, 32, berkata sejak mengikuti latihan dan bekerja di butik berkenaan tiga tahun lalu, ekonomi keluarganya dapat ditingkatkan.

“Pendapatan yang diperoleh dapat membantu meringankan beban suami yang hanya bekerja sebagai penghantar surat,” kata ibu kepada anak berusia lima tahun itu.

Menurutnya produk yang dihasilkan tidak terhad kepada pakaian semata-mata tetapi turut mengeluarkan beg dan tudung.

Seorang lagi peserta, Normala Shaharulzaman, 38, mula mempelajari kemahiran jahitan pada tahun lalu selepas diperkenalkan rakannya.

Suri rumah yang berasal dari Perak itu mengakui tidak tahu menjahit sebelum ini namun kini sudah mampu mengendalikan mesin jahit. – BERNAMA

Loading...