Presiden MPS Sedia Disiasat Isu Salah Guna Kuasa

PRESIDEN Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Peter Hii Chang Lik bersedia untuk disiasat atas dakwaan salah guna kuasa semasa menjalankan tugasnya, seperti didakwa Pemuda UMNO Libaran semalam.

Ketika menafikan dakwaan itu hari ini, Hii berkata pengadu mempunyai agenda politik dengan niat untuk melemahkan pemerintahan kerajaan hari ini.

“Saya bersedia untuk disiasat pada bila-bila masa kerana setiap tuduhan berkenaan adalah fitnah, tidak berasas dan cubaan menjatuhkan nama saya sebagai presiden MPS.

“Tuduhan yang tidak berlandaskan bukti itu juga mencemarkan imej MPS sebagai pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataan di Sandakan.

Hii berkata beliau telah meneliti laporan polis itu.

Beliau menegaskan tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak mengamalkan amalan rasuah selaku presiden MPS.

Beliau turut memberitahu akan berbincang dengan peguamnya mengenai tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap pengadu itu.

Semalam, Pemuda UMNO Libaran membuat laporan polis di Sandakan agar Hii disiasat atas dakwaan salah guna kuasa sebagai presiden MPS. – BERNAMA

Loading...