Prasarana Peruntuk RM90j Naik Taraf Feri Pulau Pinang

KUALA LUMPUR – Syarikat milik kerajaan, Prasarana Malaysia Bhd akan memperuntukkan RM90 juta bagi menaik taraf fasiliti perkhidmatan Feri Pulau Pinang dan pembelian feri baharu, menerusi Pelan Pembangunan Perkhidmatan Feri Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata usaha itu dibuat bagi menambah baik mutu perkhidmatan Feri Pulau Pinang selepas pengambilalihan perkhidmatan itu.

“Daripada peruntukan itu, sebanyak RM21 juta akan digunakan untuk tempoh 2018 dan 2019 bagi pembelian feri baharu jenis penumpang.

“Ini merupakan langkah penambahan kepada jumlah feri vehicular sedia ada iaitu sebanyak enam buah,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Servis feri negeri yang merekodkan kerugian sebanyak RM700 bagi setiap perjalanan sejak Jambatan Pulau Pinang mula beroperasi pada 1985, dibeli oleh anak syarikat Prasarana, Rapid Ferry Sdn Bhd pada Mei lepas.

Selain itu, Prasarana akan turut melaksanakan kerja-kerja membaik pulih enam feri sedia ada untuk tempoh tiga tahun bermula tahun ini dengan anggaran kos RM13.7 juta.

Menjawab pertanyaan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai pelan kerajaan bagi pelabuhan di Manjung, Loke berkata kerajaan tidak bercadang menjadikan kedua-dua Pelabuhan Terminal Maritim Lumut dan Pelabuhan Vale sebagai pelabuhan yang mengendalikan muatan kontena.

“Tidak ada keperluan untuk membangunkan pelabuhan baharu. Namun, kajian tersebut juga merumuskan kerajaan perlu mengoptimumkan pelabuhan sedia ada dan membangunkan fasiliti pelabuhan untuk tujuan perkhidmatan industri tertentu.

“Terminal Maritim Lumut, Kg Acheh dan Pelabuhan Vale di Teluk Rubiah adalah jeti/pelabuhan persendirian di Perak yang diuruskan syarikat swasta dengan dikawal selia Jabatan Laut Malaysia.

“Kedua-dua terminal berkenaan menguruskan dan mengendalikan kargo perindustrian,” katanya. – BERNAMA

Loading...