PR1MA Tawar Lebih 30k Rumah Mampu Milik Di Sabah

KOTA KINABALU – Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) menawarkan sebanyak 30,155 unit rumah mampu milik untuk dijual pada ekspo perumahan mega edisi Sabah di Sabah Trade Centre bermula semalam hingga Isnin ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias berkata ‘Ekspo Jualan Perumahan – Ke Arah Sejuta Impian’ yang dianjurkan dengan kerjasama agensi perumahan kerajaan Persekutuan dan negeri itu menawarkan pelbagai kategori harga.

“Ekspo ini bertujuan meningkatkan pemilikan rumah oleh rakyat Malaysia daripada semua peringkat pendapatan terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kira-kira 16,000 unit yang ditawarkan PR1MA pada ekspo itu adalah berharga di bawah RM300,000. Terdapat juga rumah khususnya untuk golongan B40 yang ditawarkan oleh agensi lain semasa ekspo itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata ekspo berkenaan juga menyasarkan pembeli daripada kalangan berpendapatan sederhana (M40) yang ingin memiliki rumah pertama berkualiti tinggi.

“Seiring dengan peningkatan sosioekonomi dan kualiti hidup di Sabah, saiz kumpulan berpendapatan sederhana juga berkembang namun keupayaan untuk memiliki rumah dihalang oleh harga hartanah yang tinggi serta proses pinjaman bank yang semakin ketat.

“Untuk menangani isu ini, kerajaan menubuhkan PR1MA yang menawarkan rumah berkualiti yang berharga 20 peratus lebih rendah daripada kadar pasaran,” katanya.

Abdul Mutalib ekspo itu juga akan melihat penyertaan rakan strategik seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan institusi kewangan seperti Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd, RHB Bank Bhd dan AmBank (M) Bhd untuk membantu pembeli berpotensi menyemak skor kredit mereka dan memohon pinjaman.

PR1MA membangunkan sebanyak 12 projek membabitkan 12,000 unit rumah pada harga berpatutan di Sabah dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM7.5 bilion.

Sementara itu, Abdul Mutalib berkata pihaknya akan membuka pejabat jualan PR1MA di Aropod, Jalan Kepayan di sini yang dijangka beroperasi pada Ogos ini. – BERNAMA