PR1MA: Pembeli Lahir Rasa Gembira Dan Terima Kasih

PETALING JAYA – Mereka yang lama menanti memiliki rumah idaman dengan harga berpatutan melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan program pembelian rumah kediaman Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Pembeli turut ditawarkan Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) bagi memudahkan mendapatkan pembiayaan memiliki kediaman PR1MA .

Seorang suri rumah Sarafina Zainal Abidin, 52, berkata dia gembira akhirnya impian keluarganya untuk memiliki rumah sendiri tercapai.

“Kami baru sahaja memilih unit rumah teres dua tingkat di Prima Kampar, Perak yang berharga RM254,000 yang dilengkapi 4 bilik tidur dan 3 bilik air. Harga berkenaan sangat berpatutan berbanding untuk memiliki hartanah seperti itu di Lembah Klang.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan program seumpama ini dengan harga berpatutan terutama dari golongan berpendapatan rendah seperti kami,” katanya yang ditemani keluarganya kepada Bernama pada hari terbuka PR1MA di sini, hari ini.

Katanya, beliau dan keluarganya memilih memiliki rumah sendiri memandangkan suaminya yang bekerja di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Kuala Langat, akan bersara pada 2019 nanti.

“Insya-Allah, sekiranya semua proses pembelian berjalan lancar, kami bercadang untuk mengeluarkan simpanan dalam unit amanah dan membayarnya secara tunai,” katanya.

Sementara itu, seorang setiausaha di hotel terkemuka di Kuala Lumpur, Priscilla Stewart, 37, gembira kerana percubaanya memohon PR1MA awal tahun ini membuahkan hasil.

“Sebelum PR1MA, saya beberapa kali membuat permohonan membeli rumah di sekitar Lembah Klang melalui pinjaman bank namun seringkali gagal berikutan harga rumah yang agak tinggi.

“Dengan PR1MA ini, saya berpeluang memilih satu unit studio apartment di Prima Alam Damai, Cheras dengan harga RM234,000 dan dijangka siap sepenuhnya tahun ini,” kata Priscilla yang berasal daripada Sarawak.

Katanya, program PRIMA ini sangat baik dan merupakan satu inisiatif dan keprihatinan kerajaan terutama bagi golongan yang berpendapatan rendah dan bujang sepertinya memiliki rumah kediaman.

Terdahulu, PR1MA mengadakan hari terbuka mingguan di Galleri Jualan PR1MA di Oasis Square, Ara Damansara, Petaling Jaya, selama dua hari bermula hari ini hingga esok.

PR1MA menawarkan 23 projek kediaman di beberapa buah negeri termasuk Sabah dan Sarawak kepada pembeli.

Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai PR1MA, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.pr1ma.my. – BERNAMA

Loading...