PPM Rampas Rokok Seludup

JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 menahan seorang lelaki tempatan dan merampas sebanyak 597 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki cuba diseludup masuk ke negara ini di Parit Haji Halim, Telok Kerang, Pontian awal pagi ini.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, penahanan dan rampasan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan Marin (URM) PPM Wilayah 2 pukul 3.15 pagi.

“Ketika ditahan, lelaki berkenaan dipercayai sedang memunggah sejumlah rokok pelbagai jenama yang tidak sah di sisi undang-undang ke dalam sebuah kereta jenis Toyota Camry berwarna putih.

“Rokok yang dirampas adalah 98 karton Gudang Garam Merah, Surya (150 karton), Sampoerna (A) Merah (78 karton), Dji Sam Soe (78 karton), Gudang Garam International (48 karton), Marlboro Merah (47 karton) dan Marlboro Gold Light (98 karton). Turut dirampas sebuah kereta Toyota Camry di mana keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM100,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE

Loading...