Pontian Bakal Jadi Hab Pengeluaran Kerang

PONTIAN – Daerah Pontian bakal dijadikan hab pengeluaran kerang berikutan potensi daerah itu yang mampu mengeluarkan lebih 1,000 tan kerang setahun dengan nilai pasaran mencecah RM4 juta hingga RM5 juta.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Ahmad Maslan berkata perancangan itu selari dengan hasrat kerajaan menjadikan Pontian sebagai daerah contoh sesuai dengan statusnya sebagai pengeluar kerang terbesar Johor.

“Kita di Pontian belum ada hab pengeluaran yang utama sehinggalah hari ini, dan kita akan pastikan potensi ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu masyarakat terutamanya nelayan di kawasan ini.

“Setiap tahun, jumlah pengeluaran kerang di sini meningkat dan kita jangka tahun ini akan dapat menghasilkan sebanyak 2,000 tan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Molluscure di Pengkalan Nelayan Ayer Baloi, di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepengunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong.

Ahmad Maslan, yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding pengeluaran kerang di Batu Pahat dan Muar, masing-masing sebanyak 300 tan dan 150 tan.

Buat masa ini, terdapat 250 nelayan di daerah itu yang mengusahakan kerang di sepanjang jajaran seluas 60 kilometer di pesisir pantai bandar Pontian sehingga ke kawasan Tampok.

Harga kerang pada masa ini adalah RM12 sekilogram manakala harga borong adalah pada RM5 hingga RM6 sekilogram.

“Kita yakin peningkatan ini boleh berlaku terutama faktor kawasan perairan yang bersih yang membolehkan kerang membiak,” kata Ahmad Maslan.

Sistem Molluscure, yang berupa tangki itu, dilihat dapat meningkatkan kualiti kerang dan boleh menampung sehingga 700 kilogram kerang pada satu-satu masa.

Hasil ciptaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berupaya mengeluarkan bahan toksik daripada spesies makanan laut bercengkerang, sekali gus meningkatkan kualiti makanan laut itu.

Selain itu, kawalan keselamatan makanan pengguna dapat ditingkatkan, memandangkan bahan toksik yang dalam kerang yang menjadi penyumbang kepada penyakit-penyakit kronik di badan manusia, akan dapat dikeluarkan melalui sistem berkenaan. – BERNAMA

Loading...