Polis Yakin Suspek Bunuh Ibu Tunggal Ada Di Kelantan

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu percaya suspek yang menikam seorang ibu tunggal warga Thailand hingga maut di Kampung Che Jah minggu lepas masih berada di dalam negara ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata percaya suspek berada di Kelantan setelah mengenal pasti kediaman suspek yang terletak di Rantau Panjang.

Katanya pihaknya juga telah memaklumkan kepada Polis Thailand dan pihak keselamatan yang mengawal sempadan Malaysia-Thailand bagi mengesan suspek yang berusia sekitar 20-an itu.

“Kita juga turut mengedarkan gambar dan identiti suspek dan kita percaya suspek masih berada di sekitar Kelantan.

Selain bekerjasama dengan polis dari negara jiran kita juga bekerjasama dengan kontinjen berdekatan bagi memburu suspek,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Polis juga turut menahan sepupu mangsa yang juga pekerjanya berusia 30-an bagi membantu siasatan.

Ahad lalu mangsa, dikenali sebagai Hayimatiyoh @ Sharipah,35, dijumpai terbaring di bahagian dapur rumahnya oleh sepupunya itu kira-kira pukul 7.30 malam dengan sembilan kesan pukulan di bahagian kepala dan muka. – BERNAMA

Loading...