Polis Yakin Dapat Maklumat Baharu Kes Tembak Syed Amen

GEORGE TOWN – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kes seorang ahli perniagaan ditembak mati di Jalan Datuk Keramat, di sini bulan lepas masih dianalisis oleh pakar di makmal forensik polis, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata polis percaya akan memperoleh beberapa maklumat baharu kes itu setelah mendapat laporan lengkap rakaman CCTV dalam masa terdekat.

“Rakaman CCTV di kawasan kejadian dihantar selepas insiden berkenaan dan berdasarkan beberapa maklumat (daripada CCTV) saya percaya kami akan memperoleh beberapa perkembangan baharu mengenai kes itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelepasan peserta Program Kayuhan Beca Melaka, di sini hari ini yang disempurnakan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A.Thaiveegan.

Dalam kejadian pada 3.30 pagi 11 Feb lepas, Syed Amen Jainul Abidin, 46, yang merupakan pemilik restoran nasi kandar, mati ditembak di hadapan sebuah kedai motosikal berkuasa tinggi.

Sementara itu, Mior Faridalatrash berkata polis menahan seorang remaja lelaki dipercayai anggota sindiket mencuri motosikal yang aktif di sekitar daerah ini dan merampas sebuah motosikal yang dilapor dicuri di George Town, baru-baru ini.

Beliau berkata remaja berusia 18 tahun itu ditahan di Sungai Nibong, pada pukul 4.10 pagi tadi dan hasil pemeriksaan mendapati motosikal yang ditunggangnya milik seorang lelaki berusia 43 tahun yang dilaporkan dicuri.

“Polis percaya dengan penahanan remaja lelaki yang tidak bekerja itu, kami dapat menyelesaikan beberapa lagi kes curi motosikal di daerah Timur Laut,” katanya.

Terdahulu, A.Thaiveegan melepaskan 20 beca yang menyertai program Siri Jelajah Beca 1Malaysia selama 13 hari bermula Selasa lepas yang merentasi lapan negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. – BERNAMA