Polis Terengganu Musnahkan Dadah, Barang Narkotik

SETIU – Polis Terengganu hari ini melupuskan pelbagai jenis dadah dan barang narkotik, yang kesemuanya bernilai RM88,948.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata dadah yang dimusnahkan itu melibatkan 593 kertas siasatan di seluruh daerah Terengganu bagi tempoh 2006 hingga 2016.

“Antara barang kes yang dimusnahkan hari ini adalah pelbagai jenis dadah iaitu heroin sebanyak 469.7 gram, pil kuda 377.77 gram, ganja 52.68 gram, syabu 25.68 gram, dan ketamin 0.51 gram manakala air ketum sebanyak 513.86 liter, erimin 5/nimetazepam sebanyak 2.64 gram dan daun ketum pula 167.20 kilogram.

“Kesemua barang kes kita bakar dan tanam hari ini dilaksanakan setelah selesai kes di mahkamah dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengetuai Pelupusan Barang Kes Narkotik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu di Lapang Sasar Lembah Bidong di sini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Superintendan Roslan Tahir dan ketua-ketua jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Dalam perkembangan lain, Aidi turut menyatakan berlakunya penurunan tangkapan sebanyak 30 peratus iaitu 4,462 tangkapan tahun lepas berbanding 14,849 tangkapan sepanjang tahun 2016.

“Pada tahun 2017, polis berjaya melakukan 10,387 tangkapan melibatkan 8,760 kes daripada 13,971 kes mereka yang terlibat dengan dadah. Mereka yang berumur 30 hingga 34 tahun paling ramai yang terlibat dengan dadah iaitu 2,287 orang dan golongan remaja berumur 14 hingga 18 tahun adalah paling rendah iaitu 320 orang.

“Pengurangan tangkapan ini adalah satu daripada usaha yang menunjukkan polis amat agresif dalam usaha pembersihan dadah dalam mengenal pasti tempat-tempat yang menjadi sarang, siapa yang mengedar.

“Walaupun sudah ada beberapa tempat yang telah bersih daripada sarang penagihan, tapi pemantauan secara berterusan anggota perlu agar ia kekal bersih daripada kembali beroperasi menjadi sarang penagihan dadah,” katanya. – BERNAMA

*Video sekadar hiasan…