Polis Sarawak Serbu Pusat Judi Dalam Talian

KUCHING – Polis pada Sabtu menyerbu sebuah pusat perjudian siber dan transaksi judi nombor ekor 4D secara dalam talian di sebuah rumah kedai di Jalan Satok di sini dan menahan tujuh individu termasuk seorang warga asing, berumur antara 17 dan 30 tahun dipercayai pekerja di pusat itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata ini pertama kali polis Sarawak mengesan pusat mengutip wang pertaruhan bagi nombor ekor 4D secara dalam talian dan juga pembayaran tambah nilai bagi perjudian siber dan wang kemenangan juga secara dalam talian.

Beliau berkata enam suspek direman polis selama dua hari manakala warga asing itu direman 14 hari di bawah Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan.

“Lapan komputer dan 18 telefon bimbit yang digunakan untuk transaksi secara dalam talian itu dirampas, dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pertaruhan 1953,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dev berkata sepanjang minggu lepas, polis Sarawak menjalankan serbuan di 27 tempat perjudian di seluruh negeri dan berjaya menahan 39 individu berumur antara 16 dan 52 tahun, termasuk lima warga asing. – BERNAMA

Loading...