Polis Rampas Rokok, Tembakau Salak Bernilai RM900,00

KUNAK – Polis Kunak menumpaskan cubaan menyeludup masuk pelbagai jenis rokok dan tembakau salak bernilai RM900,000 serta menahan tiga lelaki dalam sekatan jalan raya di persimpangan Ladang Giram, Sime Darby Kunak, semalam.

Ketua Polis Daerah Kunak Supt Mohd Nasaruddin Nasir berkata dalam sekatan kira-kira pukul 5 pagi itu, polis menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah lori yang dalam keadaan mencurigakan.

Pacuan empat roda dan lori itu masing-masing dipandu lelaki tempatan berusia 26 dan 35 tahun. Turut ditahan kelindan lori warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua suspek dipercayai dalam perjalanan dari Tawau menghala ke Lahad Datu dan hasil pemeriksaan ke atas lori itu, polis menemui 168,550 karton rokok serta 8,700 bungkusan kecil tembakau salak yang kesemuanya bernilai RM900,000 yang belum dibayar dicukai,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Mohd Nasaruddin, hasil siasatan mendapati kenderaan Hilux itu berperanan sebagai tonto yang mengiringi lori berkenaan ke lokasi dituju mereka di Lahad Datu, bagi mengedarkan barangan seludup dari negara jiran itu untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (c) Akta Kastam 1967 dan tiga suspek terlibat akan direman bagi membantu siasatan. – BERNAMA