Polis Percaya Riduan Masih Berada Di Dalam Negara

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya Muhammad Riduan Abdullah, yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya M. Indira Gandhi, masih lagi berada di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata maklumat berkenaan diperoleh selepas membuat semakan bersama Jabatan Imigresen dalam usaha mengesan Muhammad Riduan yang sebelum ini dikenali sebagi K. Pathmanathan.

“Kita tidak ada petunjuk… saya telah memberi arahan spesifik kepada semua elemen-elemen pasukan PDRM terutama CID (Jabatan Siasatan Jenayah) untuk mengesan lelaki berkenaan.

“Saya juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil memberikan kerjasama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM, di sini, hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan bekas Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff mengambil alih tugas Pengarah JIPS Datuk Seri Abd Rahim Hanafi yang bersara wajib pada Khamis (1 Feb) ini.

Semalam, Mohamad Fuzi dalam satu kenyataan dilaporkan berkata usaha mengesan dan menahan Muhammad Riduan masih berterusan sejak 2014 berdasarkan waran untuk pengkomitan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kenyataan Indira Gandhi bahawa pihak polis tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak mencari dan menahan bekas suaminya, yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan mereka kepadanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pasangan yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Ketiga-tiga anak mereka iaitu dua perempuan dan seorang lelaki kini berusia 20, 19, dan sembilan tahun. Muhammad Riduan, 47, telah menukar agama anak-anak mereka kepada Islam pada April 2009 tanpa persetujuan Indira Gandhi, selepas dia memeluk Islam.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberi Indira Gandhi hak penjagaan sepenuhnya terhadap ketiga-tiga anaknya dan memerintahkan Muhammad Ridhuan menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya. – BERNAMA