Polis Muar Kesan Ramai Sebar Berita Palsu 12 Murid Diculik

MUAR – Polis kini mengesan beberapa pengguna laman sosial Facebook yang dipercayai menyebarkan berita palsu mengenai konon 13 pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Pasir di sini yang diculik Rabu lepas.

Ia menjadi viral sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan ramai ibu bapa serta masyarakat tempatan, kata Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi Bernama.

Beliau seterusnya berkata bahawa mereka terlibat dalam menyebarkan berita palsu berkenaan diminta agar segera tampil menyerah diri kepada pihak polis bagi membantu proses siasatan.

“Kejadian didakwa pengguna Facebook pada Rabu adalah tidak benar kerana siasatan mendapati wanita berusia 46 tahun itu hanya bawa 13 murid itu bersiar-siar sebelum hantar mereka semula ke sekolah.

“Pihak polis telah menyerahkan wanita tersebut kepada pasukan perubatan Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar dan disahkan mempunyai rekod masalah mental,” katanya kepada Bernama.

Pada Khamis, media melaporkan seorang wanita yang dipercayai kurang siuman membawa 13 pelajar sekolah rendah bersiar-siar dengan kenderaannya sebelum menghantar mereka ke sekolah.

Beliau yang menafikan kejadian itu sebagai kes penculikan seperti yang tersebar luas menerusi laman sosial, meminta supaya pengguna Facebook lain khususnya ibu bapa supaya lebih berhati-hati.

Azman berkata kes berkenaan dianggap sebagai sudah selesai namun kecewa dengan sikap beberapa pengguna laman sosial yang masih terus-menerus menyebarkan berita tidak benar.

“Tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh beberapa pengguna laman sosial Facebook hanya akan menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat,” tegasnya.

Justeru, beliau menasihati pengguna lebih matang dan bertanggungjawab dalam mendapatkan kesahihan berita terlebih dahulu dan bukan ambil dari sumber khabar angin sehingga boleh mengganggu siasatan sesuatu kes.

– BERNAMA/Mynewshub.cc/HAA

Loading...