Polis Lepas Tembakan Kereta Cuba Langgar Anggota

TANAH MERAH – Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah sebuah kereta yang cuba melanggar anggota pasukan itu di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Rantau Panjang awal hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanuddin Hassan berkata, tembakan itu dilepaskan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 pada pukul 1.45 pagi ketika sedang melakukan tugas rondaan di sekitar kawasan kejadian.

“Anggota kami melihat dua buah kereta berdekatan pintu kedua keluar masuk di Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (ICQ) yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota kami cuba mendekati untuk melakukan pemeriksaan, namun sebuah kereta bertindak mengundur dan memecut laju cuba melanggar anggota kami yang bertugas ketika itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan penyampaian watikah pelantikan pemimpin kecil 2019 Sekolah Kebangsaan Sri Suria (1) di sini.

Hassanuddin berkata, susulan suspek bertindak agresif, anggotanya terpaksa bertindak melepaskan lima das tembakan ke arah tayar bagi memberhentikan kereta yang dipandu oleh suspek.

“Kesemua suspek berjaya melarikan diri dan pihak kami tidak dapat mengenal pasti jumlah suspek yang berada di dalam kereta tersebut berikutan kereta terbabit dipasang cermin gelap dan kami percaya suspek tersebut terlibat dengan aktiviti penyeludupan sama ada dadah, senjata api atau Pendatang Tanpa Izin ke negeri ini,” katanya.

Katanya, pihaknya mendapati sebuah kereta yang terlibat dalam kejadian itu menggunakan nombor pendaftaran dari utara tanah air dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya. – BERNAMA

Loading...