Polis Berjaya Tahan Lelaki Seludup Diesel

KUANTAN – Sepasukan anggota polis dari Unit Risikan Polis Marin Wilayah Timur (PMWT) memberkas seorang lelaki yang disyaki cuba menyeludup minyak diesel di Taman Satelit berhampiran Hutan Lipur Beserah, di sini semalam.

Serbuan pukul 1 tengah hari itu berjaya menahan suspek berusia lingkungan 40 tahun selepas anggota polis mengekorinya kira-kira setengah jam sebaik sahaja menerima maklumat orang awam.

Menurut Komander PMWT, Asisten Komisioner Azmi @ Azami Ibrahim, selepas menerima maklumat itu polis berjaya memintas dan menahannya untuk pemeriksaan.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku baharu mengisi 1,400 liter minyak diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Pintasan Kemaman-Kuantan, dekat sini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, polis kemudiannya merampas bahan api berkenaan bersama pam, segulung hos manakala lori itu juga disita selepas suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen. – BERNAMA

 

Loading...