Polis Bantuan Maut Dirempuh Kereta

REMBAU – Seorang anggota Polis Bantuan PLUS Ronda maut apabila sebuah kereta terbabas lalu merempuhnya di KM240 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara dekat sini, hari ini.

Jurucakap polis berkata kejadian berlaku kira-kira 6.20 pagi berhampiran Plaza Tol Pedas Linggi.

Ketika kejadian, Nordin Md Dingkil, 54, dikatakan sedang mengawal lalu lintas kerana terdapat sebuah treler mengalami kerosakan di situ.

Secara tiba-tiba, sebuah Proton Iswara yang dinaiki tiga individu terbabas lalu merempuh mangsa yang berada di belakang treler berkenaan menyebabkan mangsa tercampak ke tengah lebuh raya.

Mangsa yang mengalami cedera parah di bahagian muka dan kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Tampin.

Pemandu treler dan tiga individu yang menaiki Proton Iswara yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian. – BERNAMA

Loading...