PM Serah Loji Air Bernilai RM255.1 Juta Di Ganchong

PEKAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan projek Loji Rawatan Air Ganchong di sini, bernilai RM255.1 juta yang merupakan projek kerajaan Persekutuan, kepada kerajaan negeri Pahang.

Loji rawatan air yang berkemampuan membekalkan 80 juta liter air terawat setiap hari itu, diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak sebagai wakil kerajaan negeri.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John yang mana, ECERDC merupakan pelaksana projek itu yang merupakan antara projek InfraRakyat di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Pembinaannya dimulakan pada Mac 2014 dengan matlamat untuk memastikan bekalan air terawat berterusan dapat dibekalkan demi manfaat 80,000 pengguna domestik, pengusaha perniagaan dan pelabur di Pekan.

Projek itu siap sepenuhnya dan telah mula beroperasi pada Mac lalu, mengikut peruntukan dan tempoh yang ditetapkan.

Sebelum ini, penduduk di kawasan sekitar bergantung kepada Loji Rawatan Peramu yang hanya berkeupayaan mengeluarkan 44 juta liter air terawat setiap hari, sedangkan permintaan air dijangka semakin meningkat dari semasa ke semasa dalam tempoh 10 tahun akan datang. – BERNAMA

Loading...