PM Bersyukur Rombakan Kabinet Diterima Baik Anggota Parti, Rakyat

PEKAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan rasa syukur kerana anggota Umno dan Barisan Nasional (BN) serta rakyat menerima baik rombakan kabinet yang dilakukannya pada 28 Julai lalu.

Beliau berkata dengan rombakan itu, parti dan kerajaan kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada matlamat untuk membangunkan dan memacu Malaysia ke arah negara maju dalam tempoh lima tahun.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin), (Datuk Seri Mohd) Shafie (Apdal), (Datuk Seri) Hassan (Malek) dan semua yang tidak lagi berada dalam pentadbiran kerajaan.

“Tetapi masing-masing melahirkan komitmen dan luahkan pendirian bahawa mereka tetap setia kepada Umno. Dengan selesainya proses itu (rombakan), maka kita boleh bergerak ke hadapan.

“Saya tidak mahu kita hilang arah dan fokus. Kita mesti kembali kepada mengapa, kenapa dan apa dia objektif serta matlamat yang hendak diperjuangkan sebagai anggota parti dan kerajaan,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini. – BERNAMA