PLUS Jangka 1.6 Juta Kenderaan Sehari Sewaktu Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari sewaktu perayaan Tahun Baru Cina 2016.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd. Hamid berkata, jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding 1.3 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

“Justeru, kami telah mengatur pelbagai strategi untuk membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa dan lancar di lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Noorizah berkata, PLUS telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan pada hari puncak iaitu dari 5 Februari hingga 14 Februari ini.

Menurutnya, TTA merupakan pendekatan PLUS untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat.

“Ia adalah berdasarkan kajian PLUS terhadap pola perjalanan orang ramai pada musim-musim perayaan yang lalu.

“Berdasarkan kajian kami, apabila ramai mematuhi TTA untuk pulang ke kampung dan pulang semula ke kota selepas bercuti, semakin lancar perjalanan di lebuh raya,” katanya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan PLUS akan menugaskan lebih ramai kakitangan di lebuh raya dan pusat kawalan trafik (TMC), menambah pasukan dan rondaan PLUSRonda, menempatkan dan pasukan bantuan kecemasan di Lebuhraya Utara-Selatan sewaktu perayaan Tahun Baru Cina.

Katanya, PLUS turut menambah kawasan letak kenderaan dan pembukaan tandas bergerak di kawasan rehat dan rawat, menyediakan trak tunda tambahan di lokasi terpilih serta menempatkan lebih daripada 3,200 kakitangan di plaza-plaza tol dan pemantauan trafik dari udara dan lain-lain lagi.

“PLUS akan membuka laluan kontra di beberapa laluan yang kritikal untuk menguruskan trafik di laluan-laluan tersebut. Walau bagaimanapun, pengaktifan laluan kontra tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak polis,” katanya.

Selain itu, kata beliau, strategi lain PLUS dalam mengagihkan trafik dengan menawarkan rebat tol sebanyak 30 peratus pada 4, 11 dan 15 Februari kepada pnegguna yang membuat bayaran tol menggunakan sistem automatik seperti Touch ‘n Go.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat trafik terkini di Lebuhraya Utara-Selatan menerusi perkhidmatan Twitter PLUSTrafik, aplikasi PLUS Mobile Apps, talian PLUSLine 1800 88 0000, papan tanda elektronik di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara,” katanya. – mynewshub.cc