Piala AFF: Kiatisuk, Sundram Ketepikan Persahabatan

YANGON – Kiatisuk Senamuang dan V. Sundramoorthy, masing-masing dari Thailand dan Singapura mengetepikan seketika persahabatan mereka apabila kedua-dua negara bertemu dalam aksi Kumpulan A Piala AFF Suzuki, esok.

Kiatisuk sedar pasukan Singapura akan bermati-matian mencari kemenangan selepas seri tanpa jaringan dengan tuan rumah bersama, Filipina dalam aksi pembukaan di Stadium Sukan Filipina, Bulacan, Sabtu lepas.

“Saya mengenali Sundram sejak zaman kami bermain lagi dan sekarang kami menjadi jurulatih skuad negara masing-masing.

“Ia pasti sukar kerana Singapura baru mengutip satu mata dan mahukan kemenangan,” kata bekas penyerang Thailand yang digelar Zico itu seperti dipetik dalam laman web kejohanan www.affsuzukicup.com

Kiatisuk yang membimbing skuad Gajah Perang menjuarai kejohanan itu untuk kali keempat dua tahun lalu, turut mendedahkan beliau akan merehatkan beberapa pemain yang membantu mengikat Australia 2-2 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2018, baru-baru ini.

Sundram pula berkata pemainnya perlu bekerja keras untuk memastikan sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan esok bagi menghidupkan peluang ke peringkat separuh.

Bekas pemain Singapura itu turut mengingatkan pemainnya agar tidak mengambil mudah terhadap lawan mereka terutama barisan serangan Thailand yang diketuai penyerang veteran, Teerasil Dangda.

“Ramai pemain yang bagus dalam pasukan Thailand. Mereka mempunyai dua penyerang yang hebat…saya tidak boleh menamakan satu pemain kerana mereka bergerak dalam satu pasukan dan menggunakan kekuatan masing-masing untuk memenangi perlawanan,” kata Sundramoorthy. – BERNAMA

Loading...