Petronas Rai 1,000 Golongan Kurang Bernasib Sempena Ramadan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,000 golongan kurang bernasib baik diraikan dalam majlis berbuka puasa dalam program tahunan Sentuhan Kasih anjuran Petronas, di sini malam tadi.

Naib Presiden Kanan Strategi Korporat dan Risik Adif Zulkifli berkata acara berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat minyak dan gas negara itu.

“Program ‘Sentuhan Kasih’ Petronas diadakan setiap tahun sebagai pendekatan kami untuk berkongsi kegembiraan bersama-sama golongan kurang bernasib baik sempena Ramadan yang mulia ini,” katanya dalam kenyataan pada majlis berbuka puasa di Masjid Salahuddin Al-Ayubi di Taman Melati, Gombak di sini Sabtu malam.

Katanya, program ‘Sentuhan Kasih’ Petronas turut diadakan di tiga lokasi lain iaitu di Masjid Al Muhtadin di Damansara Damai; Masjid Kampung Sungai Merab, Bangi; dan Masjid Al-l’tisam di TTDI Jaya.

Sempena program itu, sebanyak 160 petugas Petronas secara sukarela bergotong-royong menjalankan pelbagai aktiviti di masjid-masjid berkenaan.

Petronas turut menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM120,000 sempena program berkenaan. – BERNAMA

 

Loading...