Peserta Program 1Azam Perlu Komited Majukan Diri – KM Sabah

SANDAKAN – Peserta Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) perlu komited memajukan diri dan mencapai matlamat program sebagaimana yang diharapkan kerajaan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata program 1Azam dan program lain yang mempunyai tujuan sama iaitu membantu memajukan rakyat dan meningkatkan taraf hidup mereka harus dimanfaatkan sewajarnya.

Katanya program 1Azam yang diwujudkan kerajaan bertujuan menyediakan peluang kepada rakyat berpendapatan rendah yang tersenarai dalam program E-Kasih untuk membuka laluan kepada mereka mendapatkan sumber pendapatan.

“Gunakan sebaiknya peluang keemasan yang telah diberikan itu sebagai sumber untuk berusaha memajukan diri, seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Tautan Kasih 1Azam peringkat daerah Sandakan yang dihadiri oleh 500 peserta 1Azam di sini hari ini.

Ketua Menteri berkata sikap rajin dan gigih memajukan diri, ditambah dengan sokongan serta pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan sudah tentu akan membuahkan hasil dan memberi kesan jangka panjang sekiranya terus diamalkan.

Musa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga mahu agensi kerajaan yang melaksanakan program 1Azam memastikan ia mencapai golongan sasar dan objektifnya menjana pendapatan peserta. – BERNAMA

Loading...