Peserta Maraton Koma Meninggal Dunia

SHAH ALAM – Selepas koma hampir tiga bulan akibat dilanggar kereta ketika menyertai Klang City International Marathon 2017, Evelyn Ang Gek Suan meninggal dunia hari ini di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mazelan Paijan berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kematian wanita berusia 44 tahun itu pada kira-kira 6.50 pagi tadi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada 1.13 pagi oleh doktor yang merawatnya. Punca kematian ialah kecederaan teruk di kepala akibat kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Dalam kejadian 10 Dis lepas, Ang dilaporkan cedera parah di kepala dan rahang manakala dua lagi peserta cedera di kepala dan kaki selepas dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta di Batu 2, Jalan Kapar, Klang ketika menyertai acara maraton berkenaan.

Dua peserta lain yang cedera ialah Amiruddin Hamid, 37, dan Ahmad Hadafi Jus, 42.

Menurut Mazelan, mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya pada kira-kira 10.30 pagi dan dibawa pulang ke Cheras.

Polis sebelum ini dilapor mengesahkan penganjur maraton itu tidak memiliki lesen penganjuran acara berkenaan daripada Pesuruhjaya Sukan.

Pada 20 Feb lepas, mekanik Teoh Thiam Lim, 28, didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas tuduhan memandu secara berbahaya dan melulu dalam kejadian itu. Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah. – BERNAMA