Peserta Konvoi Ride-72 Di Seluruh Negara Dilepaskan

PUTRAJAYA – Seramai 29 penunggang motosikal terdiri daripada anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini hari ini memulakan Program Konvoi Ride-72 di seluruh Semenanjung sempena Hari Sambutan JPJ ke-72.

Pengarah JPJ Selangor Nazli Md Taib yang mengetuai konvoi itu berkata aktiviti menunggang motosikal beramai-ramai yang bermula di seluruh Semenanjung hari ini akan berakhir di Batu Pahat, Johor pada 2 April, sekali gus bergabung mengumpul kesemua peserta konvoi dari setiap negeri.

Program itu antara lain adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan mengambil berat mengenai keselamatan ketika berada di jalan raya, katanya.

“Jumlah keseluruhan gabungan peserta konvoi terlibat adalah 72 orang dan angka ini simbolik bersempena Hari Sambutan JPJ ke-72,” katanya ketika ditemui selepas acara pelepasan konvoi di sini hari ini.

Pelepasan konvoi disempurnakan Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Pada acara kemuncak di Batu Pahat nanti, peserta dijangka menyerahkan bendera Malaysia dan JPJ kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, katanya. – BERNAMA

Loading...