Peruntukan RM1.2 Bilion Kukuhkan Infrastruktur

TELUK INTAN – Peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk menaik taraf 616km jalan kampung dan jambatan serta meningkatkan perhubungan kampung, pekan dan bandar dalam Bajet 2017 membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan lagi pembangunan infrastruktur di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata ia juga selaras dengan janji dan bukti kerajaan yang mengutamakan rakyat untuk membina jalan perhubungan yang selamat serta selesa.

Beliau berkata pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam itu sudah pasti disambut baik oleh kerajaan negeri lain yang secara sendiriannya tidak mampu menaik taraf dan menyelenggara jalan sekiranya tiada peruntukan daripada kerajaan pusat.

“Peruntukan infrastruktur ini amat penting, khususnya kepada negeri Perak memandangkan keperluan kos menyelenggara semakin tinggi setiap tahun diperlukan, malah pertambahan jalan baharu di kampung-kampung, pembukaan taman-taman baharu di bandar, begitu juga pembaikan jambatan-jambatan lama harus diambil kira,” katanya kepada Bernama.

Diminta mengulas mengenai peruntukan RM500 juta untuk Tabung Bekalan Air yang akan diwujudkan segera bagi mengatasi masalah air di seluruh negara, beliau berkata inisiatif itu sangat diperlukan dalam memastikan semua kawasan mendapat bekalan air bersih.

“Saya percaya inisiatif ini sangat bagus dan sememangnya diperlukan terutama di penempatan baharu seperti RPT (Rancangan Perkampungan Tersusun) yang banyak dibuka oleh kerajaan negeri Perak,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik itu. – BERNAMA