Persempadanan Semula PBT JB, Kulai Tingkat Kecekapan Pegurusan Kepada Rakyat

JOHOR BAHARU – Kerajaan negeri Johor melakukan persempadanan semula empat kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di daerah Johor Baharu dan Kulai berkuat kuasa Januari depan sebagai usaha meningkatkan kecekapan pengurusan PBT kepada rakyat.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata persempadanan semula kawasan melibatkan Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), sekali gus menyaksikan keseluruhan daerah Johor Baharu menjadi kawasan di bawah tanggungjawab PBT.

“Sebelum persempadanan semula kawasan, keseluruhan sesebuah daerah adalah merangkumi kawasan PBT dan kawasan luar PBT dengan tiada agensi yang bertanggungjawab ke atas kawasan luar PBT.

“Oleh itu, selepas persempadanan semula ini, ia akan menyebabkan keseluruhan daerah menjadi kawasan di bawah tanggungjawab PBT,” katanya.

Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Perumahan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) 2015 serta pelancaran persempadanan semula PBT daerah Johor Baharu dan Kulai, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata persempadanan semula kawasan PBT bertujuan memastikan peranan dan tanggungjawab PBT terus diperkukuh terutama fungsinya sebagai pentadbir serta perancang pembangunan kawasan perbandaran selain memberi perkhidmatan cekap kepada pembayar cukai.

Katanya persempadanan itu juga diharap dapat menyelesaikan isu pertindihan kawasan pentadbiran, operasi, kawalan, masalah penguatkuasaan dan kekeliruan pembayar cukai serta mengelakkan projek oleh pemaju tanpa kebenaran terus berlaku.

Menurut Mohamed Khaled, persempadanan semula itu akan menyaksikan keluasan pentadbiran MBJB menjadi 38,310.21 hektar berbanding 21,551.4 hektar sebelum ini, MPJBT (38,113.90 hektar berbanding 56,071.7 hektar), MPPG (31,732.24 hektar berbanding 29,459.9 hektar) manakala MPKu (73,623.65 hektar berbanding 74,697 hektar).

“Secara umumnya, persempadanan semula ini akan melibatkan pertambahan kawasan di sebahagian PBT seterusnya menyumbang kepada peningkatan hasil tahunan melalui cukai harta dan lain-lain bayaran sebagaimana diperuntukkan oleh Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Pada masa sama, walaupun terdapat PBT yang akan mengalami penyusutan hasil pendapatan disebabkan pengecilan kawasan, namun, persempadanan semula ini dilihat memberi implikasi positif dalam mengurangkan perbelanjaan PBT itu,” katanya.

Sementara itu, mengenai RMMJ dan PR1MA, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri akan terus merancakkan pembinaan RMMJ sebanyak 60,000 unit manakala PR1MA sebanyak 37,000 unit menjelang 2019.

Sehingga kini 6,000 unit rumah PR1MA yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan sederhana sudah disiapkan dan boleh diduduki, 12,000 unit lagi sedang dalam pembinaan manakala bakinya akan siap pada 2018, katanya. – BERNAMA

Loading...