Permit Import Cili Vietnam Digantung Serta Merta

KUALA LUMPUR – Jabatan Pertanian memutuskan untuk menggantung sementara pengeluaran semua permit import (IP) bagi cili dari Vietnam berkuatkuasa serta merta.

Menurut kenyataan Jabatan Pertanian, penggantunggan itu dibuat hasil daripada pemantauan kadar sisa racun di pintu masuk utama negara.

“Hasil analisis dijalankan terhadap sampel, mendapati lebih 50 peratus cili import dari Vietnam melanggar Tahap Maksimum Residu (MRL) racun perosak.

“Bagi tujuan keselamatan makanan, tindakan penggantunggan pengeluaran IP cili dilaksanakan kepada pengimport yang gagal mematuhi MRL dibenarkan. Oleh demikian Jabatan Pertanian membuat penggantungan sementara IP dari negera berkenaan sehingga diberitahu kelak,” kata kenyataan itu hari ini.

Pada 22 Ogos lalu, Laporan Khas Utusan Malaysia mendedahkan Malaysia menjadi pusat lambakan hasil pertanian eksport negara luar terutamanya cili merah yang gagal melepasi piawaian negara lain.

Sususlan laporan itu, kementerian menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas sembilan kontena bagi meneliti kualiti termasuk MRL cili import yang dibawa masuk dari Vietnam di Pelabuhan Klang pada 26 Ogos lalu. – UTUSAN ONLINE

Loading...