Perlis Mampu Tadbir Hal Ehwal Agama Islam Sendiri

KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Perlis mampu mengurus hal ehwal pentadbiran agama Islam negeri ini secara mapan ibarat ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan agensi-agensi agama Islam kerajaan Persekutuan.

Baginda bertitah Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf urusan hal ehwal agama Islam sebagai hak negeri adalah selaras dengan kedudukan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam negeri masing-masing sejak berabad lamanya.

“Justeru, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis 1948 yang mematerikan ‘Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah’ tidak terikat dengan apa jua mazhab ‘fiqh’ sebagai pegangan negeri.

“Dari perspektif federalisme, Perlis mempunyai garis panduan tersendiri yang dinaungi institusi Rajanya dan termaktub dalam Perlembagaan negeri,” titah baginda yang berkenan merasmikan majlis ‘Nadwah Murrabi Ummah’ peringkat negeri di Dewan 2020 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pembangunan Insan negeri Datuk Khairi Hasan.

Menurut baginda, pendekatan lestari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memudahkan negeri-negeri bertindak secara kolektif membabitkan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan Islam dalam usaha memartabatkan syiar Islam.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menasihatkan umat Islam agar mengelak amalan yang menyesat dan memecahbelahkan dengan berpegang teguh kepada al-Quran dan sunah.

Para murabbi ummah seperti imam, bilal, siak, guru takmir dan umat Islam khasnya hendaklah menghayati dan berusaha mempertingkat dan melaksana nilai-nilai wahyu dan akhlak mulia dalam kehidupan seharian, tambah baginda. – BERNAMA

*Video sekadar hiasan…