Perkhidmatan MRO: Destini & Felcra Bekerjasama

KUALA LUMPUR – Destini Bhd dan Felcra Bhd hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi kemudahan dan peralatan perindustrian bagi pertanian dan industri berkaitan di Malaysia dan rantau ASEAN.

MoU yang ditandatangani anak syarikat milik penuh Destini, Destini Engineering Technologies Sdn Bhd dan anak syarikat milik penuh Felcra, Felcra Processing & Engineering Sdn Bhd, akan melihat penubuhan syarikat usaha sama (JVco) dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh MoU.

JVco akan menyediakan perkhidmatan MRO ke kilang minyak sawit Felcra, hartanah komersil dan kediaman, kata Destini dalam satu kenyataan hari ini.

Destini berkata, ia akan menjadi konsep perkhidmatan “di bawah satu bumbung” yang meliputi kerja-kerja mekanikal dan elektrik, elektronik dan sivil.

Selain itu, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menyediakan latihan untuk perkhidmatan yang diberikan Destini kepada pelajar kolej Felcra dan/atau peserta serta menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka. – BERNAMA