Perintah Berkurung ESSZone Dilanjut Hingga 6 Mac

KOTA KINABALU – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir 6 petang ini dilanjutkan sehingga 6 Mac, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.

Ramli berkata mereka yang tinggal di kawasan itu diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan tersebut antara jam 6 petang hingga 6 pagi keesokannya sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan itu tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ramli berkata pelanjutan tempoh perintah berkurung itu juga bertujuan menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat negeri ini yang berada di kawasan daratan ESSZone.

​​​​​​​Beliau berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Menurutnya, perintah berkurung itu juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di kawasan mereka.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di kawasan terbabit untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya. – BERNAMA