Perintah Berkurung Di Esszone Dilanjut Hingga 14 Ogos

KOTA KINABALU – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir 6 petang ini akan dilanjutkan hingga 14 Ogos depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata dengan pelanjutan itu, mereka yang tinggal di kawasan terbabit diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan antara 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh tersebut.

Menerusi kenyataannya di sini hari ini, perintah yang meliputi perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Kinabatangan dan Beluran itu dilanjutkan bagi memastikan kawasan perairan tersebut tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau-pulau peranginan di sekitar.

Beliau berkata perintah berkurung itu juga bertujuan menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat yang berada di kawasan daratan Esszone.

Ramli berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi meneruskan kegiatan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Katanya perintah berkurung dilaksanakan bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah Esszone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya. – BERNAMA

Loading...