Perancis Lancar Gerakan Cari Serpihan MH370

PARIS – Kerajaan Perancis lewat Jumaat melancarkan gerakan baharu untuk mencari lebih banyak lagi serpihan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 di sekitar kawasan pulau Reunion di Lautan Hindi.

Gerakan itu dilakukan serentak di udara, darat dan laut malah Paris menyatakan ia akan meningkatkan usaha mencari puing berkenaan selepas lebih banyak serpihan dijumpai terdampar di pulau berkenaan.

Ini termasuk penemuan bingkai tingkap pesawat dan kajang kertas aluminium, namun serpihan-serpihan itu belum lagi dapat disahkan sama ada memang berasal daripada pesawat MH370.

Langkah tersebut juga susulan pengesahan pihak berkuasa Malaysia bahawa serpihan bahagian sayap pesawat Boeing 777 yang ditemui di pulau itu minggu lalu, adalah milik MH370.

Selepas penemuan secara mengejut serpihan bahagian sayap itu, Putrajaya meminta lebih banyak bantuan Paris untuk mencari pesawat tersebut yang hilang secara misteri pada 8 Mac tahun lalu.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai, juga berkata pihaknya sedang menunggu cadangan pasukan pakar yang ditubuhkan bagi mencari pesawat itu, bagi tindakan selanjutnya.

“Kita juga tiga negara – Australia, China dan Malaysia – akan ada mesyuarat peringkat menteri untuk bincangkan langkah-langkah seterusnya. Saya rasa ini adalah paling wajar, dan perlu dilakukan segera,” ujar beliau.

Dalam pada itu, kerajaan Mauritius turut dilaporkan bersetuju untuk bekerjasama mencari sebarang serpihan ditemui di pulau peranginan popular berkenaan yang secara kebetulan berjiran dengan Reunion.

Keadaan berbeza di Beijing awal Jumaat apabila sebahagian daripada anggota keluarga para penumpang warga China mengadakan bantahan di luar Kedutaan Malaysia.

Mereka tidak puas hati dengan pengumuman Malaysia yang mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Reunion adalah dari MH370 dan juga menuntut dibawa ke pulau di Lautan Hindi itu.

Ramai anggota keluarga para penumpang warga China percaya pihak berkuasa Malaysia menyembunyi sesuatu tentang apa yang sebenarnya terjadi terhadap pesawat itu. – Agensi/Mynewshub/HAA

Loading...