Perak Naikkan Insentif Pemenang SUKMA 2018

IPOH – Kerajaan negeri akan menaikkan bayaran insentif kemenangan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 sebagai rangsangan buat atlet bagi memastikan kontinjen negeri muncul juara.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata bagi kategori individu pemenang pingat emas akan menerima RM5,000, pemenang pingat Perak (RM3,000) manakala RM1,000 untuk pemenang pingat gangsa.

Sebelum ini, bayaran insentif bagi pemenang pingat emas adalah RM3,000, manakala pemenang pingat perak dan gangsa masing-masing akan menerima RM2,000 dan RM1,000.

“Bagi kategori sukan berpasukan pula, setiap anggota pasukan akan menerima RM2,500 bagi pingat emas, RM1,500 pingat perak dan pingat gangsa RM750,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Maslin Sham Razman (BN – Bukit Chandan) pada Mesyuarat ketiga Penggal kelima, Dewan Negeri ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Shahrul Zaman berkata kenaikan bayaran insentif itu dilihat mampu mengalakkan peningkatan prestasi serta menaikkan semangat atlet negeri yang juga tuan rumah dalam kejohanan tersebut.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri turut melancarkan program Kita Juara 2018 bagi memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun dan sistematik dapat dirangka terhadap kontinjen Perak terutama dalam misi muncul juara edisi tahun depan.

Beliau berkata hingga kini, program tersebut mempunyai kira-kira700 atlet bagi 29 jenis sukan, sama ada individu atau berpasukan.

“Prestasi atlet akan dinilai semula melalui proses pemilihan fasa kedua bulan depan. Senarai terakhir atlet yang layak ke Sukma 2018 akan diputuskan pada sesi pemilihan terakhir Mac tahun depan,” katanya.

Shahrul Zaman berkata kerajaan negeri juga mewujudkan inisiatif baharu melalui Program Podium Perak (P3) sebagai antara pentas persediaan untuk melahirkan atlet bertaraf dunia.

Beliau berkata atlet yang dipilih menyertai P3 terdiri daripada pemenang pingat pada Sukma 2016 dan berada pada kedudukan tiga terbaik semasa kejohanan kebangsaan atau remaja kebangsaan.

“Seramai 67 atlet kini berada dalam P3 yang terdiri daripada 31 dan 36 atlet masing-masing sukan individu dan berpasukan. Pencapaian atlet ini dinilai dengan teliti dari semasa ke semasa melalui kejohanan peringkat kebangsaan,” katanya, – BERNAMA

Loading...