Penyelia Ladang Sawit Rentung Dalam Kemalangan

DUNGUN – Seorang penyelia ladang sawit rentung apabila kereta dipandunya terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Km90, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bandar Al Mukhtafi Billah Shah (AMBS) di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS Jaswari Awang berkata dalam kemalangan kira-kira 7.15 pagi itu, mayat Wan Abdul Hakim Wan Ahmad, 24, ditemukan rentung di tempat duduknya.

Beliau berkata ketika pihak bomba tiba di tempat kejadian, kereta dipandu penyelia itu dan lori terbabit sedang terbakar.

“Namun pemandu lori berkenaan yang berusia 40-an sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit bagi memadamkan kebakaran dan terpaksa menggunakan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

Katanya kereta Perodua Kelisa yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori 10 tan itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat, katanya. – BERNAMA