Penumpang Cemas Bas Ekspres Terbakar

GEORGE TOWN – Seramai 27 penumpang dan pemandu bas menjadi cemas apabila bas ekspres yang mereka naiki tiba-tiba terbakar di Kilometer 149.7, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Juru, Seberang Perai Selatan kira-kira 9 pagi tadi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Syahidan Sahid berkata, kebakaran dipercayai berpunca pada enjin bas yang menyebabkan hampir 70 peratus badan bas dijilat api.

“Api dikatakan bermula dari belakang bas yang disyaki akibat masalah enjin. Namun pemandunya sempat memberhentikan basnya di lorong kecemasan dan mengarahkan kesemua penumpang untuk turun,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran mengakibatkan kesesakan sejauh empat kilometer.

Bas itu dalam perjalanan menuju Kuala Lumpur dari Butterworth dan kesemua penumpang meneruskan perjalanan menggunakan bas lain dari syarikat yang sama. – BERNAMA

 

Loading...