Penukaran Kad Debit Kepada PIN Masih Perlahan

KUALA LUMPUR – Penukaran kad debit kepada kad baharu berasaskan PIN masih perlahan berbanding dengan kad kredit, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengarah Jabatan Dasar Sistem Pembayaran, Tan Nyat Chuan berkata, pada masa sekarang, terdapat 25.4 juta kad yang perlu diganti di seluruh negara, yang terdiri daripada 7.6 juta kad kredit dan 17.8 kad debit yang aktif.

Sehingga September 2016, 71 peratus daripada kad-kad kredit telah ditukar kepada kad berasaskan PIN berbanding hanya 34 peratus bagi kad debit, ini beerti kadar penukaran keseluruhan telah mencecah 45 peratus.

“BNM meminta pemegang kad yang tidak mendapatkan lagi kad pembayaran berasaskan PIN yang baharu untuk menghubungi bank masing-masing atau pengeluar kad bukan bank dengan serta-merta,” katanya kepada pemberita dalam satu taklimat di sini hari ini.

Katanya, orang ramai diminta untuk menggantikan kad caj, prabayar, kredit dan debit yang berasaskan tandatangan menjelang 1 Jan tahun depan memandangkan banyak bank sedang menaik taraf terminal pusat jualan (POS) bagi menerima kad yang berasaskan PIN dan ini, dijangka selesai menjelang 31 Dis.

Katanya, akan ada tempoh tangguh sehingga 30 Julai untuk para pemegang kaddan peruncit membiasakan diri dengan sistem baharu ini, kemudian, kad berasaskan tandatangan tidak lagi diterima.

Bagaimanapun, selepas tempoh tersebut, kad berasaskan tandatangan yang dikeluarkan oleh institusi asing masih boleh dipakai.

Menurut beliau, bagi pembayaran luar terminal seperti di stesen minyak, ujian perintis masih dijalankan dalam minggu ini dan penukaran penuh kepada sistem terbabit dijangka siap menjelang akhir tahun.

Sekarang ini, terdapat lebih daripada 300,000 terminal POS di seluruh negara.

Sehingga September, 38 peratus daripada terminal ini telah ditukar untuk menerima kad berasaskan PIN.

Kata Tan, bagi tujuan mempromosikan transaksi tanpa tunai, industri tersebut merancang untuk melabur lebih kurang RM1.1 bilion dalam enam tahun (2015-2020) untuk menyokong pengembangan dan peningkatan infrastruktur kad pembayaran.

Ini membabitkan peningkatan terminal POS kepada 800,000 buah (25 terminal POS untuk setiap 1,000 orang) menjelang tahun 2020, berbanding hanya 275,000 terminal (sembilan terminal POS untuk setiap 1,000 penduduk) pada tahun 2015.

Katanya, pelaburan itu juga termasuk inisiatif untuk meningkatkan kecekapan dan kemudahan urus niaga kad pembayaran melalui pengenalan kad debit tanpa sentuhan, dikenali sebagai Kad Cip Spesifikasi Malaysia (MCCS) menjelang 1 Jan 2018.

Sejak Julai tahun lepas, Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran (PCRF) yang dikeluarkan oleh BNM telah berkuat kuasa sepenuhnya bagi menangani herotan pasaran dan memastikan bahawa kos penerimaan kad pembayaran adalah adil dan munasabah.

Katanya, di bawah PCRF, yuran penukaran, yang merupakan bayaran antara bank dalam urus niaga kad pembayaran, telah dikurangkan kepada 0.21 peratus dan 0.15 peratus daripada 1.0 peratus dan 0.4 peratus, masing-masing untuk kad debit jenama antarabangsa dan kad debit jenama tempatan yang dikenali sebagai MyDebit.

Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang melaksanakan penggunaan kad Europay, Mastercard dan Visa (EMV) yang memakai cip sebagai standard keselamatan yang lebih terjamin untuk kad pembayaran dalam 2005.

Penggunaan ini menyumbang kepada pengurangan yang drastik dalam penipuan kad palsu dan meningkatkan keyakinan pemegang kad awam serta asing dalam penggunaan kad-kad pembayaran.

Menurut BNM, pemegang kad asing termasuk perbelanjaan pelancong meningkat sebanyak 77 peratus kepada RM9.9 bilion pada tahun lepas berbanding RM5.6 bilion dalam 2005.

Bagi Januari-September 2016, transaksi kad debit mencecah sebanyak RM16 bilion. – BERNAMA

Loading...