Pentadbiran Kerajaan Perak Berada Di Landasan Betul

KUALA KANGSAR – Pentadbiran kerajaan negeri Perak berada di landasan yang betul berikutan pelbagai pengiktirafan yang diterima khususnya dalam pengendalian kewangan dan menjadi antara terbaik di negara ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata walaupun laporan dan suara negatif dengan gambaran yang diberikan meletakkan Perak di pinggiran jurang, namun pertumbuhan ekonomi serta pencapaian yang dikecapi menunjukkan perkara yang bertentangan.

“Angka yang tercatat membuktikan kadar pertumbuhan ekonomi negeri ini, bagi tempoh 2012 hingga 2015 berada pada paras 7.7 peratus mengatasi purata pertumbuhan nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Ucapan Sembah Tahniah dan Taat Setia kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-60 baginda di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini.

Zambry berkata beberapa pencapaian yang meletakkan Perak berada pada landasan yang betul antaranya sehingga kini kerajaan negeri tidak berhutang dengan kerajaan persekutuan dalam urusan pembayaran gaji kakitangan awam.

“Hutang kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan adalah yang terendah. Rezab negeri sentiasa berada dalam keadaan baik dan positif dan kadar kemiskinan di Perak berada pada paras 0.74 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata kerajaan negeri menggunakan pendekatan yang lebih mesra dan efektif melalui program Pemukiman Daerah sebagai usaha untuk menghindarkan fitnah dan mehnah (ujian) terhadap kerajaan yang tidak pernah lekang dihebahkan.

“Fitnah dan mehnah terhadap usaha kerajaan, tidak pernah lekang dihebahkan. Tambahan pula mudahnya penyebaran melalui perkakas yang kini boleh diatur di tapak tangan.

“Untuk itu, pentadbiran patik mengambil pendekatan yang lebih mesra agar resah rakyat dapat dirasakan bersama, kelirunya mereka dapat diperbetulkan semula dan harapan mereka sentiasa cuba dipenuhi sebanyak yang ada,” katanya.

Tambah beliau, melalui anyaman jalinan pentadbiran kerajaan negeri dan pemerintahan Sultan Nazrin Shah, peristiwa atau catatan hitam dapat dijauhi.

Beliau berkata beberapa inisiatif besar juga telah diambil dalam usaha untuk menyuburkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Ia termasuk mewujudkan Lembaga Pesisir Pantai, Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak serta kewujudan dua daerah baru iaitu Muallim dan Bagan Datoh,” katanya.

Pada istiadat hari ini, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-pingat negeri kepada 33 daripada keseluruhan 333 penerima, manakala bakinya akan menerima darjah kebesaran masing-masing dalam satu istiadat 12 Nov depan. – BERNAMA

Loading...