Penoreh Getah Didenda RM1,600

KUALA LUMPUR – Seorang penoreh getah didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan adik perempuannya menggunakan sebatang besi penyangkut kain langsir, Sabtu lepas.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap G. Kalidasan, 24, yang didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas G. Saraswathy, 21, sehingga mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kedua-dua lututnya, di sebuah rumah di Sentul, di sini pada pukul 5 petang, 2 Disember lepas.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika dia gagal membayar denda itu. Dia membayar denda itu.

Kalidasan dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia sudah insaf dan memohon maaf daripada adiknya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesan kecederaan yang dialami mangsa.

“Sebagai seorang abang, tertuduh sepatutnya melindungi mangsa dan bukan melakukan perkara yang boleh mencederakan adik kandungnya,” kata Noorelynna. – BERNAMA

Loading...