Penjenayah Tahi Kucing

SEREMBAN – Seorang penjenayah menggigil ketakutan apabila ditahan ketika merompak sebuah rumah di Taman Paroi Jaya, di sini, kelmarin.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 3 pagi, suspek berusia 30 tahun memasuki kediaman itu ketika pemiliknya tiada di rumah.

Katanya, selang 20 minit kemudian, pemilik berusia 31 tahun pulang dan mendapati ada sebuah motosikal tidak dikenali di hadapan rumahnya.

“Pemeriksaan mendapati pintu hadapan kediaman diumpil dan mangsa segera menghubungi polis. Secara kebetulan, sebuah kereta peronda polis melalui lokasi dan mangsa meminta bantuan,” katanya.

Katanya, mangsa dan anggota polis memasuki rumah sebelum menemui suspek sedang memunggah almari dalam sebuah bilik.

“Menyedari kehadiran anggota polis, suspek menggigil ketakutan dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan tetapi seorang rakannya yang berada di luar rumah berjaya melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek yang didapati positif dadah menemui alat pemotong, playar dan sebuah motosikal.

Katanya, rakan suspek dikatakan sempat melarikan sebentuk cincin bernilai RM400 dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian. – myMetro Online