Penjara Sedia Kaunseling Pelajar Bermasalah

TAIPING – Jabatan Penjara sedia membantu Kementerian Pendidikan menyediakan modul kaunseling untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah yang mempunyai masalah disiplin tentang kesan masa depan mereka apabila melakukan kesalahan jenayah dan dadah.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar berkata ini sekali gus memberi kesedaran kepada pelajar untuk mengelak dan mencegah daripada terlibat dalam kesalahan itu.

“Kita memang bersedia untuk memberikan pendedahan awal bagi menyedarkan pelajar supaya mereka tidak terbabit dengan jenayah dan dadah.

“Model pendidikan kaunseling yang kita ambil dari United Kingdom ini boleh digunakan bagi meningkatkan kesedaran dan ketahanan mental dalam diri pelajar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perbarisan Tamat Latihan Siswa Siswi Koreksional (Siskor) Jabatan Penjara di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius akan dihantar menjalani program pemulihan di penjara dan lokap tidak lama lagi bagi memerangi gejala sosial di sekolah.

Dalam ucapannya, Zulkifli berkata Jabatan Penjara sudah melatih seramai 600 pelajar sejak Siskor ditubuhkan pada 2013.

“Kami akan terus memberikan kerjasama kepada pihak universiti dalam apa jua bidang yang bersesuaian demi matlamat melahirkan insan cemerlang,” katanya sambil menambah program itu akan diperluaskan ke universiti lain di seluruh negara.

Beliau berkata Jabatan Penjara tidak terkecuali mendukung hasrat untuk melahirkan siswa siswi yang prihatin dengan mendedahkan ilmu kepenjaraan dalam kursus itu.

“Mungkin ada dalam kalangan mereka selepas ini akan memilih profesion kepenjaraan sebagai kerjaya sekali gus dapat memberikan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara dalam memulihkan mereka yang tersasar dari landasan kehidupan,” katanya. – BERNAMA

*Video sekadar hiasan…